Tuesday, January 25, 2011

Dari Titik Peluh Sendiri...

Photobucket

Hadith :
Dari Zubair bin Awwam r.a, dari nabi s.a.w sabdanya:”Apabila kamu menyiapkan seutas tali, lalu pergi mencari kayu api, kemudian dibawanya seikat kayu di punggungnya lalu dijualnya dan Allah memberi kecukupan bagi keinginannya, itulah yang lebih baik baginya daripada ia meminta-minta kepada orang ramai diberi ataupun tidak.”

(al-Bukhari)



Huraian
Orang yang berjaya ialah orang yang mampu menempuh berbagai rintangan dan cabaran dalam hidup. Walau daripada mana ceruk asal seseorang itu, sekiranya dia rajin berusaha maka kejayaan akan menjadi miliknya. Bukankah rezeki Allah S.W.T ada di mana-mana. Cuma yang bakal menentukan hanyalah ‘mahu’ atau ‘tidak’ kerana kemalasan akan menjunamkan seseorang itu ke lembah kehinaan. Begitu juga dengan sikap malu hendaknya biarlah bertempat. Kata orang malu bertanya sesat jalan, malu makan perut lapar dan malu dalam mencari rezeki alamat hidup akan melarat. Sesungguhnya Islam memandang mulia pada manusia yang bekerja membanting tulang empat kerat untuk mencari sesuap nasi atau rezeki yang halal berbanding dengan mereka yang hidup meminta-minta daripada orang lain.

Bertimbang Rasa Dengan Orang Bawahan....

Photobucket

Hadith :
Diriwayatkan daripada Abu Dzar r.a : “ Aku mencerca seseorang dengan memanggil ibunya dengan sapaan yang buruk. Nabi Muhammad SAW bersabda kepada ku :” Ya Abu Dzar! Apakah kau mencaci maki seseorang dengan menyeru ibunya dengan sapaan yang buruk? Dalam diri mu masih tertinggal sifat-sifat Jahiliah. Pembantu-pembantu mu adalah juga saudara-saudara mu dan Allah menempatkan mereka di bawah perintah mu. Maka sesiapapun yang saudaranya di bawah perintahnya harus diberi makanan yang sama dengan yang ia makan dan diberi pakaian yang sama dengan yang ia pakai. Jangan suruh mereka mengerjakan pekerjaan di luar kemampuannya dan apabila kamu terpaksa melakukannya, bantulah mereka.”

(al-Bukhari)



Huraian
Komunikasi dua hala seharusnya berlaku antara majikan dan orang bawahan. Seseorang majikan atau pun ketua tidak seharusnya mempunyai sikap angkuh pada kedudukan atau jawatan yang disandangnya. Sikap ‘egoist’ akan menyebabkan seseorang majikan itu tidak dapat bekerjasama dengan orang bawahan sehingga menerbitkan perasaan dendam dan benci mereka terhadap ketua. Seharusnya seorang ketua mestilah menghargai setiap usaha yang dilakukan oleh pekerjanya, biarpun betapa kecil kerja tersebut atau ianya belum mencapai piawaian yang dikehendakinya kerana tanpa usaha yang dilakukan oleh orang bawahan mustahil seorang ketua dapat mencapai tahap kecemerlangan. Justeru jangan menganggap orang bawahan sebagai hamba dan hendaklah menghormati maruahnya sebagai seorang manusia seterusnya memberikan penghargaan seadil-adilnya tanpa adanya sifat pilih kasih.

(sumber = JAKIM )

Permudahkan Segala Urusan Islam....

Photobucket

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
“Permudahkanlah semua urusan dan jangan menyusahkannya, berilah khabar gembira dan janganlah membuat sesuatu yang menyebabkan orang lain lari.”

Riwayat al-Bukhari dan Muslim



Huraian
1. Islam adalah agama yang mudah dan senang diamalkan oleh setiap golongan, oleh itu hendaklah ia dipermudahkan dan janganlah dijadikan sebagai sesuatu bebanan.
2. Umat Islam hendaklah sentiasa menyampaikan perkhabaran yang menggembirakan dan janganlah menimbulkan perkara-perkara yang membawa kepada kesulitan hidup.
3. Islam menuntut agar umatnya berdakwah ke jalan Allah dengan penuh hikmah dan bijaksana supaya ia boleh diterima dengan mudah dan rela.

SeTiAp HuKuM aDa HiKmAhNyA....

Photobucket

Hadith :
Dari Abdullah bin Buraidah r.a, dari bapanya katanyarasulullah s.a.w bersabda:”Dahulu aku pernah melarang kamu menziarahi kubur, maka sekarang ziarahilah. Aku pernah melarang kamu memakan daging korbanmu lebih dari tiga hari, sekarang simpanlah sekadar yang kamu perlukan. Aku pernah melarang kamu minum minuman anggur kecuali dengan gelas biasa, sekarang minumlah dengan apa jua bekas minuman. Tetapi jangan sekali-kali kamu minum minuman yang memabukkan.”

(Muslim)



Huraian
Selaku umat Islam, kita perlu jelas bahawa setiap hukum yang dibawa oleh Islam ada kaitannya dengan kesejahteraan hidup manusia sama ada dari aspek rohani mahupun jasmani, fizikal mahupun spiritual. Setiap hukum dan larangan tersebut sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith di atasnya ada hikmahnya yang tersendiri. Hukum juga boleh berubah-ubah bergantung pada beberapa perkara seperti maslahah ummah dan kehendak zaman asalkan ia tidak menyalahi hukum dan batasan yang ditetapkan oleh syarak. (al-Quran dan sunnah). Sesungguhnya setiap suruhan dan tegahan agama itu bukanlah bermaksud untuk mengekang kebebasan individu. Ia sebenarnya untuk kebaikan bersama. Inilah tujuan utama Nabi Muhammad s.a.w diutuskan iaitu untuk memberi penerangan kepada manusia tentang tatacara kehidupan yang sebenar berlandaskan kehendak Islam.

Saturday, January 22, 2011

TIP UNTUK KETAHUI MUKA SURAT BAGI JUZUK2 DI DALAM AL QURAN

Photobucket


TIP UNTUK KETAHUI MUKA SURAT BAGI JUZUK2 DI DALAM AL QURAN


salam ukhuwah fillah ... ana sekadar berkongsi tip ini , hasil dr blog tazkirahkehidupan.blogspot.com ... ana dah cuba tip di bawah tepat seperti yg tertera , mudah2 dpt lah kita sama2 mengamalkannya..


Al-Quran adalah peninggalan Rasulullah kpd kita semua umatnya. Ada 2 benda yg Nabi Muhammad s.a.w tinggalkan kepada kita iaitu Al-Quran dan juga Sunnah utk kita semua amalkan. Berapa kali kalian baca Al-Quran sehari? 1 kali ? 2 kali atau dalam solat sahaja? Pahala paling senang nk dapat adalah melalui pembacaan Al-Quran kerana setiap huruf diberikan 10 pahala, tambahan pula Al_Quran adalah kalam Allah (dtg daripada Allah sendiri bukan diciptakan manusia)


Tip yg nk kongsikan ni adalah cara utk menghafal muka surat setiap juzuk Al-Quran. Memang menakjubkan kerana hanya dengan menggunakan formula matematik ringkas, kita dapat tahu muka surat setiap juzuk Al-Quran.


Jom sama2 kita belajar...



Contoh 1
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 5 di halaman ke berapa
5 - 1 = 4, 4 perlu didarab dengan 2 jadi 4 x 2 = 8
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 5 adalah pada halaman 82

Sekarang lihat pada Quran dan anda akan lihat Juzuk 5 bermula pada halaman 82. Menarikkan?



Contoh 2
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 10 di halaman ke berapa:
10 - 1 = 9, 9 perlu didarab dengan 2 jadi 9 x 2 = 18
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 10 adalah pada halaman 182




Contoh 3
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 23 di halaman ke berapa:
23 - 1 = 22, 22 perlu didarab dengan 2 jadi 22 x 2 = 44
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 23 adalah pada halaman 442



Subhanallah, memang menakjubkan kan kawan2. Sama2 kita kongsikan kepada anak2 kita, kawan2 kita, adik2 kita, family2 kita supaya kita sama2 mendapat pahala dariNYA... Insya-Allah...

Tuesday, January 18, 2011

Menjaga Nama Baik

Photobucket

Hadith :
Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bermaksud: " Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil."

(Muslim).




Huraian
Maruah dan nama baik adalah sesuatu yang amat penting bagi semua orang. Islam menegah perbuatan menghina dan memperlekehkan orang lain kerana ia akan menjatuhkan maruah individu terbabit. Lagipun tidak ada manusia yang suka dirinya diperlekeh dan dihina apalagi di khalayak ramai. Tiga golongan yang disebutkan di dalam hadis di atas merupakan mereka yang sebenarnya mempunyai nilai di sisi masyarakat dan harus dihormati. Sebagai orang tua contohnya mereka sudah tentu mempunyai banyak pengalaman hidup yang boleh dijadikan panduan dan iktibar oleh mereka yang masih muda. Manakala orang yang berilmu juga merupakan aset yang memberi manfaat untuk kebaikan dan kemajuan ummah seperti juga kedudukannya dengan imam yang adil yang semestinya menjadi tali pengikat kepada keharmonian dan keamanan masyarakat seluruhnya. Golongan ini harus diberi penghormatan sewajarnya kerana setiap kebaikan yang ada pada diri mereka bakal menjadi teladan buat generasi yang datang selepasnya.

Positif Dan Negatif Malu...

Photobucket

Hadith :
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a:” Suatu ketika Rasulullah SAW terserempak dengan seorang Ansar (lelaki) yang sedang menegur saudara lelakinya kerana ia sangat pemalu. Ketika itu juga rasulullah SAW bersabda:” Biarlah dia kerana malu adalah sebahagian daripada iman.”

(al-Bukhari)




Huraian
Dari sudut syarak malu adalah menahan diri dari melakukan sesuatu yang mengakibatkan sesuatu yang negatif bukan malu tersipu-sipu yang tidak kena pada tempatnya. Sifat malu tersipu-sipu dan merendah diri ini adalah al-jahalu. Contoh malu tersipu-sipu hingga takut menjawab soalan guru di kelas adalah contoh al-jahalu. Sikap ini disebabkan kurangnya keyakinan diri dan lemah peribadi. Tetapi al-haya’ (malu) adalah disebabkan sifat percaya diri dan kuat keperibadian lantaran kuatnya iman dalam menolak segala sesuatu yang negatif. Maka sifat maka itu sendiri adalah sebahagian daripada iman dan terpuji. Sifat malu menjadikan seseorang jauh daripada perbuatan hina dan maksiat sebaliknya meletakkan dirinya dalam keadaan kesempurnaan kerana selalu melakukan hal-hal yang positif. Dia akan berkata bahawa: “ Sesungguhnya aku adalah lebih tinggi daripada perbuatan terkutuk itu dan aku lebih mulia daripada perbuatan tercela itu.”. Dengan perkataan lain seseorang yang tidak mempunyai sifat malu, dia bukanlah hidup sebenarnya, tetapi sudah mati atau hampir mati imannya.

Tiga Kali Lebih Baik...

Photobucket

Hadith :
Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya :” Apabila Nabi SAW memberitahu sebuah pernyataan, baginda mengulanginya sampai tiga kali hingga orang ramai dapat memahami dan mengerti perkataannya dengan baik dan setiap kali nabi meminta izin untuk masuk (ke dalam rumah, ia mengetuk pintu) tiga kali dan mengucapkan salam.”

(al-Bukhari)




Huraian
Simbolik tiga kali dalam sesuatu perbuatan bergantung pada situasi dan tempat. Dalam melakukan sesuatu perkara ibadah seperti mengambil wudhu’, kita dikehendaki melakukan pada satu-satu rukun itu sebanyak tiga kali kerana ia adalah lebih baik bahkan termasuk dalam perkara sunat. Malah bagi kebanyakan perkara, perbuatan mengulang-ulang itu dianggap akan menyempurnakan kekurangan yang berlaku sebelumnya daripada langsung tidak melakukannya atau setidak-tidaknya menduakan malah lebih bagus menigakan dan seterusnya. Jika kurang dari tiga kali ditakuti menjadi kurang bermanfaat, khususnya dalam perbuatan mengingat atau menghafal ilmu yang menuntut kita mengulang-ulangnya beberapa kali sesuai dengan sifat manusia yang mudah lupa. Tetapi ada juga berlaku sekiranya sesuatu itu dilakukan lebih dari tiga kali akan mengundang mudarat dan keburukan atau jatuh pada peringkat batal contohnya jika bergerak dengan sengaja lebih dari tiga kali sewaktu dalam solat, solat dianggap batal. Sesungguhnya dalam hal ini Islam menekankan tentang kesederhanaan dan menegah perbuatan melampaui batas. Justeru bilangan 3 kali adalah jalan paling selamat!